Buku Teroka Sains Cipta Fenomena, 2 Saintis Kembalikan Minat Membaca - Wilayahku

Buku Teroka Sains Cipta Fenomena, 2 Saintis Kembalikan Minat Membaca - Wilayahku

GENERASI anak hari ini tidak sama macam dulu. Dulu golongan itu rajin baca buku, sekarang dikatakan asyik main gajet.

Ramai ibu bapa hari ini mengeluh di luar sana. Tapi cuba kita fikirkan, benarkah anak hari ini lebih suka main gajet? Atau sebenarnya ibu bapa yang bertanggungjawab memupuk minat membaca bahan bacaan yang menarik?

Bertitik tolak dari itulah pasangan suami isteri, Dr. Wan Fahmi Datuk Wan Mohamad Nazarie dan Dr. Nur Annies Abd Hadi hingga kini sudah menulis empat siri buku Teroka Sains yang berpaksikan ilmu sains.

BUKU TEROKA SAINS SIRI SATU HINGGA TIGA


Pengalaman dan kesempatan terindah menuntut ilmu di peringkat ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti of Edinburgh, United Kingdom (UK) termasuk bertemu saintis hebat mendorong mereka menerbitkan buku bermanfaat dipanggil Teroka Sains.

Dijual dengan harga berpatutan dengan harga RM35 bagi sebuah buku yang mengandungi 150 muka surat bergambar dan berwarna, ternyata percaturan dua saintis hebat yang turut bertindak sebagai penulis buku itu disifatkan berjaya.

Buktinya, setiap siri yang dihasilkan mendapat sambutan dan permintaan hebat hingga ‘laku keras’. Hingga kini keempat-empat siri buku itu sudah menarik minat lebih 100,000 golongan kanak-kanak untuk membaca dengan lebih 240,000 naskhah sudah terjual.

“Siri pertama dengan judul Teroka Sains 1: Menerokai Keajaiban Alam Ciptaan Tuhan manakala buku siri kedua yang menfokus kepada alam haiwan bertajuk Teroka Sains 2: Fakta Pelik, Unik & Kelakar Haiwan diterbitkan pada tahun 2019.

“Tahun ini kita terbitkan dua siri, tiga dan empat. Siri ketiga diberi judul, Teroka Sains 3: Uniknya Awak yang memaparkan perihal manusia khususnya.

“Siri keempat berjudul Teroka Sains 4: Rindunya Nak Travel pula menelusuri fakta dan info sains menarik dari 74 buah negara termasuk negara yang pernah saya dan suami jejaki.

“Tajuknya sendiri kena dengan situasi semasa kita sebelum ini apabila tak boleh merentas negara kerana pandemik COVID-19,” kata Dr. Nur Annies yang berkelayakan Ph.D. Epigenetik Bioperubatan.

BUKU Teroka Sains siri keempat, Rindunya Nak Travel

Pada awalnya pasangan berkenaan menjangkakan hanya golongan anak saja yang sukakan buku berkenaan.

Tapi tersasar kerana keempat-empat buku yang diterbitkan tidak hanya dibaca golongan muda.

“Bayangkan ibu bapa yang belikan untuk anak mereka pun terjebak baca sekali.

“Malah daripada maklum balas diterima, cara penyampaian selain grafik dan imej buat bacaan itu jadi tak bosan malahan sangat menyeronokkan. Pendek kata boleh leka membaca. Sedar-sedar sudah di helaian terakhir,” katanya.

Sementara itu, Dr. Wan Fahmi yang berpendidikan Ph.D. Bioinformatik dan Biologi Pengkomputeran memaklumkan fakta dan info menarik tentang sains yang ditulis mudah dan senang untuk difahami menarik minat si cilik dan juga ibu bapa untuk membaca buku ini.

“Sebagai contoh ada info tentang monyet yang suka berendam pada musim sejuk di negara Jepun, ada tasik yang berwarna-warni di Amerika Syarikat dan ada gunung berapi yang boleh kita pergi dengan lebih dekat di negara Vanuatu.

“Banyak lagi info dan fakta menarik sebagai contoh kenapa udang jadi merah apabila masak, kenapa kuda belang tiada belang dan kenapa ada haiwan yang boleh bertukar warna?

“Semuanya ada di dalam buku Teroka Sains sekaligus menjadi buku yang sangat menyeronokkan untuk dibaca dan terbukti apabila anak-anak membaca buku ini berkali-kali sehingga buku itu lunyai,” katanya.

PASANGAN suami isteri, Dr Wan Fahmi Datuk Wan Mohamad Nazarie dan Dr Nur Annies Abd Hadi orang kuat Teroka Sains

Layari www.terokasains.com untuk mendapatkan buku Teroka Sains atau menyertai program affiliate Teroka Sains untuk bersama-sama kami menyebar luas ilmu melalui buku Teroka Sains ke seluruh pelusuk negara.

Pasangan ini sewaktu majlis graduasi pada 1 Disember 2017 di Edinburgh, UK turut mencuri perhatian ramai dan kisah kejayaan mereka pernah menjadi paparan berita. Mereka sama-sama menuntut ilmu di universiti berkenaan sejak tahun 2012. – WILAYAHKU

Rujukan: https://www.wilayahku.com.my/buku-teroka-sains-cipta-fenomena-2-saintis-kembalikan-minat-membaca/