Teroka Sains terap keseronokkan membaca – Utusan Malaysia

 

KUALA LUMPUR : Realiti pada hari ini, generasi muda lebih cenderung untuk menatap ralit gajet-gajet yang berada di tangan berbanding memegang dan membaca buku.

Keadaan itu menyebabkan ramai ibu bapa mengeluh kerana zaman mereka, tidak didedahkan dengan penggunaan teknologi berbanding anak-anak masa kini.

Tetapi haruskah kesalahan itu cuma diletakkan di bahu anak-anak ini? Atau sebenarnya ibu bapalah yang wajar bertanggungjawab untuk memupuk minat membaca terhadap anak-anak sendiri?

Perkara ini telah membuka ruang idea buat pasangan suami isteri, Dr. Wan Fahmi Datuk Wan Mohamad Nazarie dan Dr. Nur Annies Abd Hadi untuk menulis dan menghasilkan bahan bacaan menarik yang memfokuskan kepada bahan bacaan berbentuk sains.

Pengalaman dan kesempatan menuntut ilmu di peringkat ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti of Edinburgh, United Kingdom (UK) termasuk bertemu saintis hebat di luar negara juga menjadi pendorong buat mereka untuk menerbitkan buku bermanfaat yang diberi judul Teroka Sains.

Menurut Dr Nur Annies, Teroka Sains telah pun memasuki siri keempat dan setiap siri yang dihasilkan mendapat sambutan dan permintaan hebat daripada pelbagai golongan terutamanya ibu bapa yang mahu menerapkan keseronokkan membaca buat anak-anak mereka.

Malah, kata Dr Nur Annies, hingga kini keempat-empat siri buku itu sudah menarik minat lebih 100,000 golongan kanak-kanak untuk membaca dengan lebih 240,000 naskhah sudah terjual.

“Siri pertama dengan judul Teroka Sains 1: Menerokai Keajaiban Alam Ciptaan Tuhan manakala buku siri kedua yang menfokus kepada alam haiwan bertajuk Teroka Sains 2: Fakta Pelik, Unik & Kelakar Haiwan diterbitkan pada tahun 2019.

“Tahun ini kita terbitkan dua siri, tiga dan empat. Siri ketiga diberi judul, Teroka Sains 3: Uniknya Awak yang memaparkan perihal manusia khususnya. Siri keempat berjudul Teroka Sains 4: Rindunya Nak Travel pula menelusuri fakta dan info sains menarik dari 74 buah negara termasuk negara yang pernah saya dan suami jejaki.

“Tajuknya sendiri kena dengan situasi semasa kita sebelum ini apabila tak boleh merentas negara kerana pandemik Covid-19,” katanya.

Selain itu, kata penulis buku ini, dia juga bersyukur dan terharu kerana buku-buku yang dihasilkan tidak cuma dibaca oleh golongan muda, tetapi juga dimanfaatkan oleh golongan ibu bapa.

“Daripada maklum balas yang diterima, cara penyampaian selain grafik dan imej buat bacaan itu jadi tak bosan malahan sangat menyeronokkan. Pendek kata boleh leka membaca. Sedar-sedar sudah di helaian terakhir,” katanya.

Sementara itu, Dr. Wan Fahmi yang merupakan graduan Ph.D. Bioinformatik dan Biologi Pengkomputeran memaklumkan, fakta dan info menarik tentang sains yang ditulis menerusi buku terbitannya adalah mudah dan senang untuk difahami sekali gus menarik minat si cilik dan juga ibu bapa untuk membaca.

“Sebagai contoh ada info tentang monyet yang suka berendam pada musim sejuk di negara Jepun, ada tasik yang berwarna-warni di Amerika Syarikat dan ada gunung berapi yang boleh kita pergi dengan lebih dekat di negara Vanuatu.

“Banyak lagi info dan fakta menarik sebagai contoh kenapa udang jadi merah apabila masak, kenapa kuda belang tiada belang dan kenapa ada haiwan yang boleh bertukar warna?

“Kami olah dengan gaya penyampaian yang menarik bagi mencipta suasana pembacaan yang menarik buat si pembaca,”katanya.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari www.terokasains.com mengenai Teroka Sains

Sumber: Utusan Malaysia
Pautan: https://www.utusan.com.my/gaya/hiburan/2021/12/teroka-sains-terap-keseronokkan-membaca/

Leave a comment

All comments are moderated before being published